Wednesday, November 24, 2010

RM200 Punya Pasal

Padah tuntut RM200


KUALA LUMPUR: Niat seorang lelaki mahu menuntut hutang bertukar tragedi apabila dibelasah sekumpulan lelaki yang mendakwa merosakkan tanaman mereka di Kampung Kemensah, di sini, Ahad lalu.

Mangsa yang berusia 40-an itu pada mulanya pergi ke kampung berkenaan untuk berjumpa dan mengambil wang daripada seorang wanita yang berhutang dengannya berjumlah RM200.


Menurut sumber polis, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa bagaimanapun diejek dan ditertawakan wanita terbabit sebelum dia melarikan diri untuk mengelak daripada membayar hutang itu.

“Mangsa yang berang dengan tindakan itu yang dianggap seolah-olah cuba memperbodohkannya mengejar wanita terbabit, namun gagal.


“Kecewa kerana gagal mendapatkan wanita itu, mangsa berpatah balik dan menuju ke keretanya untuk pulang, namun ketika itu dia ditahan beberapa penduduk kampung,” katanya.


Menurutnya, beberapa penduduk mengepung sebelum membelasahnya kerana mereka mendakwa mangsa merosakkan tanaman mereka ketika mengejar wanita terbabit.


“Mangsa ditumbuk hingga menyebabkan kepalanya cedera dan terpaksa menerima tiga jahitan selain cedera di kaki.


“Ketika kejadian, rakannya yang mengikut hanya memerhatikan dia dibelasah kerana khuatir turut menjadi mangsa sekumpulan penduduk berkenaan,” katanya.

Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di Hospital Ampang dan polis masih menjalankan siasatan kes itu.

No comments:

Post a Comment