Monday, November 29, 2010

Suami Hanyut

Hanyut kerana ayat cinta

WALAUPUN saya sudah berkahwin lebih 20 tahun, tetapi hingga kini saya masih tak faham perangai orang lelaki terutama suami saya. Dari muda hinggalah tua dekat nak bersara ni masih suka layan ayat-ayat cinta berasmaradana.

“Masa muda gila dok bercinta dengan kawan-kawan sepejabat, bila dah tua langkah semakin jauh, dok main SMS dan catting asmara entah dengan siapa-siapa. Semua dia layan.” Demikian cerita Norsara dalam e-melnya.

“Bab tangkap dia tengah layan SMS dah banyak kali, masa muda lagi teruk, sanggup ambil cuti bawa kekasih makan angin hingga ke Melaka, Kuantan dan ke Ipoh. Kalau di PD tak usah nak cakaplah. Banyak kali. Bila kita suruh dia ambil cuti masa raya atau cuti tahun memanjang cuti dah habis.

“Sejak muda lagi, ketika kami berusia 30-an anak baru dua orang saya dah beri kata dua kepada suami saya, Zabry kalau teringin sangat nak kahwin lagi, saya tak akan sekat saya izinkan. Tapi dengan syarat ceraikan saya, sebab saya tak mahu banyak tanggung dosa bergaduh dengan suami atau dengan madu. Sebab saya tak boleh kawal perasaan saya, jadi daripada buat dosa lebih baik berpisah cara baik.

“Tapi dia mati-mati menafikan tak akan kahwin lain, dia saja suka berkawan. Kawan apa? Kalau bawa kekasih pergi bercuti. Saya tak mahu tanggung dosa dia buat maksiat. Dia nafikan juga, katanya dia tahu dosa pahala takkan nak rosakkan anak dara orang atau isteri orang. Kalau bukan muhrim buat apa berdua-duaan ke hulu ke hilir? Itukan berdosa namanya. Sekali rahsia terbongkar setahun dia baik, lepas itu bila kita terlupa dia buat hal lagi hinggalah kawan-kawan beritahu aktivitinya.

“Terbaru, dua tahun lepas dia berasmara dengan seorang wanita, fikirkan anak dara rupanya isteri orang. Bila terbongkar dia mati-mati menafikan. Saya tak larang kalau dia nak kahwin lagi, sebab saya tak mahu dia buat dosa. Tapi dia nafikan.

“Kerana dah lama hidup dengan Zabry saya dah masak dengan perubahan kelakuannya kalau tengah bercinta, khayal memanjang, telefon tak lepas di tangan, tapi sepandai-pandai tupai melompat jatuh juga ke tanah. Bila rahsia terbongkar, saya telefon wanita tersebut, terus terang saya katakan saya dah meluat dengan Zabry, saya suka kalau dia cepat kahwin dengan Zabry, jadi suruhlah Zabry masuk meminang.

Perempuan

“Terkejut perempuan tu, katanya dia hanya berkawan saja, tak ada niat nak kahwin. Kalau tak ada niat apa pasal SMS kata, ‘‘I rindu, I sayang kat u! , I miss u!, I tak boleh tidur tanpa u!’’ Itu maknanya hubungan anda dah erat jadi eloklah cepat-cepat kahwin. Tapi dia kata baru kenal enam bulan takkan nak kahwin. Lebih terperanjat bila diberitahu dia isteri orang, dia selalu hubungi Zabry kerana nak minta nasihat.

“Saya katakan minta nasihat pasal masalah rumah tangga jangan cari orang lelaki, lebih besar masalahnya, kan lebih baik rujuk pejabat agama, kepada ibu bapa mungkin mereka boleh tolong. Zabry hanya pandai mengayat cinta, buat perempuan jatuh cinta dan menyembah ke kakinya.

“Katanya, suaminya keras kepala dan ada kekasih lain. Nasihat siapa pun dia tak terima. Saya suruh dia bincang baik-baik minta cerai dengan suami lepas idah kahwin dengan Zabry, habis masalah. Katanya suaminya tak mahu ceraikan dia. Kenapa tak minta fasakh, bukan minta nasihat pada Zabry, dia bukan penyelesai masalah, tetapi menambah masalah. Dan dia suka ambil kesempatan atas masalah wanita. Ini bukan kali pertama dah banyak kali.

“Selepas tahu masalah wanita tersebut, saya bincang dengan Zabry, kalau dia kasihankan wanita tersebut, kahwinlah, mungkin hidupnya lebih aman. Tapi macam biasa Zabry memang tak mahu kahwin. Katanya dia cuma berkawan sahaja. Saja suka-suka. Tapi sampai bila?

“Saya nasihatkan Zabry, jangan suka mainkan hati wanita, kita ada anak perempuan yang dah remaja, apa perasaan kita kalau hati anak kita dipermainkan oleh lelaki lain dan dianiaya satu hari nanti. Ingatlah pembalasan Allah. Saya tak mau anak saya menderita oleh kerana perbuatan ayahnya. Tapi Zabry buat pekak.

“Kerana tak tahan dengan perangainya, saya buat pengaduan ke mahkamah syariah. Saya mahu dia dinasihati. Tapi Zabry buat pekak telinga dan buta hati. Sekali pun dia tak pernah pergi. Dia anggap saya main-main. Hinggalah saya minta fasakh dan pindah tidur berasingan. Baru dia tahu saya serius.

“Peristiwa itu berlaku awal tahun lepas hingga kini dah setahun berlalu, memang nampak ada perubahan, tapi tak tahulah untuk sementara atau Zabry dah insaf. Dia mengaku cuma suka-suka, tak pernah serius dengan wanita-wanita tersebut. Dan tidak akan ceraikan saya sebab dia takut hari tuanya nanti dia menderita.

Dia tak mahu kahwin pada usia dah nak bersara, tak ada penyakit nak cari penyakit, tak ada beban kayu digalas. Kini dia nampak dah berubah, tapi tak tahulah setahun dua lagi. Namun perasaan sayang saya padanya dah tinggal 30 peratus. Kalau dia buat hal lagi, saya akan ucapkan padanya sayonara!”

Demikian cerita Norsarah panjang lebar. Katanya, buat apa sayang pada suami yang kita dah pasti dia tak sayangkan kita, lebih baik hidup sendiri lebih tenang.

No comments:

Post a Comment