Proses kelulusan lambat punca rasuah meningkat
KUANTAN 16 Nov. - Kerajaan Pahang memandang serius masalah gejala rasuah yang semakin meningkat di kalangan penjawat awam di negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail menegaskan, masalah itu berpunca daripada kelewatan dan ketidakcekapan proses kelulusan terhadap permohonan orang ramai.
"Ini menyebabkan berlaku rasuah yang bertujuan mempercepatkan sesuatu permohonan. Oleh itu, cara mengatasi masalah ini adalah setiap permohonan perlulah dilakukan dengan cepat.
"Pada saya, disebabkan lambat ia memberikan satu ruang untuk terjadinya rasuah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Integriti Pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Muhammad Safian menegaskan, jika wujudnya kecepatan kelulusan dalam setiap permohonan, maka, tidak ada ruang untuk berlaku gejala rasuah.
"Pada masa ini, di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini, permohonan untuk pembinaan bangunan akan diberikan serta-merta. Kelulusan itu bukan sahaja boleh diberikan di peringkat pegawai tetapi di peringkat kaunter pun kita boleh bagi kelulusan.
"Jadi pelaksanaan seperti inilah menyebabkan tiada ruang yang boleh berlaku rasuah. Saya hendak membudayakan kecepatan dalam budaya kerja," katanya.
Selain itu, di PBT juga, kata beliau, permohonan untuk pindaan pelan rumah dan mendapatkan lesen perniagaan hanya memerlukan kelulusan sehari sahaja.
"Di peringkat pejabat tanah juga, permohonan untuk mendapat pelan tanah juga boleh dilakukan dalam sehari.
"Ini menunjukkan kerajaan negeri serius dalam menangani masalah rasuah di kalangan penjawat awam," tegasnya.
Menurut beliau, pada bulan depan, kerajaan negeri akan melancarkan program 'Satu Hari' yang bermaksud pemohon boleh mendapatkan geran dalam sehari.
"Jika sebelum ini permohonan untuk mendapatkan geran memerlukan masa sehingga tiga hingga empat tahun namun, setelah program ini dilancarkan proses mendapatkan geran hanya sehari.
"Program ini akan dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment