Monday, November 15, 2010

PTPTN

Isteri disenarai hitam PTPTN, kadar faedah 8%

ISTERI saya adalah peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tahun 2002 dan tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda pada tahun 2005.

Walaupun telah mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semasa peringkat pengajian diploma, beliau tidak dapat menunggu proses yang agak panjang untuk mendapatkan biasiswa sekali lagi semasa menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Oleh itu kerana terdesak memerlukan wang untuk meneruskan pengajian, beliau memohon pinjaman PTPTN.

Pada tahun 2009, saya amat terkejut apabila nama isteri saya telah disenaraihitamkan oleh PTPTN. Kami cuba ke pejabat PTPTN di Damansara untuk membuat rayuan tetapi tidak dilayan.

Akhirnya, kami memutuskan untuk mengeluarkan wang KWSP isteri saya sebanyak lebih RM8,000 untuk membuat bayaran. Setelah selesai urusan pengeluaran wang KWSP, kami menunggu surat daripada PTPTN mengenai baki pinjaman dan pelan pembayaran bulanan. Namun surat tak kunjung tiba.

Baru-baru ini, PTPTN mengumumkan mengenai proses Pembiayaan Ujrah satu peratus. Saya sedar isteri saya tidak layak memohon kerana sudah disenaraihitam. Saya cuba menghubungi PTPTN, manalah tahu boleh membuat rayuan.

Malangnya saya dikejutkan lagi dengan satu berita. Isteri saya bukan sahaja tidak layak memohon Pembiayaan Ujrah satu peratus, malah dikenakan faedah lapan peratus setahun kerana telah disenaraihitam!

Bayangkanlah, pinjaman hanya RM21,000, setelah disenaraihitamkan meningkat menjadi lebih RM24,000. Keluarkan wang KWSP sebanyak RM8,000, hutang masih lagi lebih RM16,000. Sekarang dikenakan pula faedah sebanyak lapan peratus setahun! Sampai bila isteri saya boleh habis bayar hutang? Adakah PTPTN mahu isteri saya berhutang seumur hidup?

Jika beginilah pendekatan PTPTN supaya peminjam membayar hutang, maka ramailah lagi peminjam akan melarikan diri. Bukannya isteri saya tidak mahu bayar, tetapi kadar faedah melampau membuatkannya rasa tertekan.

SUAMI PENYAYANG

Seri Kembangan, Selangor.

No comments:

Post a Comment