Saturday, November 20, 2010

Ikan Sangkar


Pengusaha ikan sangkar terancam

Oleh MUSAZLILA MUSTAPAR
utusanpahang@utusan.com.my

PENTERNAK ikan sangkar menaikkan hasil ternakan mereka di Temerloh.

TEMERLOH 19 Nov. – Industri ternakan ikan sangkar di daerah ini hanya mampu menampung separuh daripada jumlah permintaan pasaran sebanyak 800 metrik tan sebulan.

Peluang usahawan ternak yang mahu melibatkan diri dalam perusahaan itu masih terbuka luas berikutan setakat ini Pejabat Perikanan daerah itu merekodkan hanya menampung permintaan pasaran tempatan sahaja.

Permintaan yang menggalakkan itu dianggap mampu memberi keuntungan besar kepada pengusaha khususnya nelayan sungai yang tinggal di sepanjang Sungai Pahang dan Sungai Semantan.

Namun tidak ramai mengetahui penternak sedia ada sebenarnya berdepan pelbagai ancaman dan risiko sebelum mampu meraih pendapatan hasil daripada ternakan khususnya ikan patin dan tilapia.

Seorang pengusaha, Mohd. Nizam Jalil berkata, lebih 80 pengusaha ikan sangkar di daerah ini kini berdepan pelbagai risiko termasuk ancaman cuaca, binatang liar malah lebih membimbangkan berlaku juga kes kecurian ternakan sejak kebelakangan ini.

Katanya, pengusaha terbabit berdepan risiko ikan mati menjelang musim tengkujuh malah keadaan air sungai yang semakin tercemar menjadi faktor perusahaan mereka merosot sejak akhir-akhir ini.

“Permintaan tinggi sehingga 800 metrik tan sebulan menyebabkan industri itu digemari namun kebanyakan pengusaha baru cepat gulung tikar disebabkan terdapat banyak faktor halangan, " katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Mohd. Nizam, ancaman yang semakin ditakuti ialah kes kecurian makanan ikan terbabit yang berharga RM52 seguni.

Katanya, lebih mengecewakan terdapat beberapa kes berlaku di Kampung Teluk Ira dan Teluk Mengkuang dekat sini yang mana pengusaha rugi apabila ikan yang sudah cukup masa dipasarkan hilang sebelum sempat dijual.

Seorang lagi pengusaha, Ahmad Salleh berkata, kejadian dipercayai berlaku dua bulan lalu apabila dia kebetulan turun ke tebing sungai untuk memeriksa sangkar miliknya.

Dia mendakwa melihat kelibat beberapa lelaki menaiki bot gentian kaca melarikan diri sebaik terserempak dengannya.

“Kejadian berlaku pada awal malam antara pukul 8 hingga 9 malam. Mereka menaiki bot mudik ke hulu sungai sebelum mematikan enjin dan kemudian singgah di sangkar yang disasarkan,” jelasnya.

Menurutnya, dalam kejadian di Kampung Teluk Ira beberapa minggu lalu ikan patin sangkar milik seorang pengusaha bersebelahan dengannya dilarikan pencuri.

“Saya difahamkan pengusaha itu rugi lebih RM6,000 apabila sangkar yang sarat dengan ikan patin untuk dijual beberapa hari lagi telah dicuri,” katanya.

Ahmad berkata, kejadian itu mengakibatkan beberapa penternak ikan sangkar di sepanjang Sungai Pahang dan Sungai Semantan mula meningkatkan kawalan mereka terutama pada sebelah malam.

Seorang penternak di Kampung Bangau Tanjung, Badri Ibrahim berkata, dia kini mengupah beberapa pemuda kampung bagi mengawal hasil ikannya.

Menurutnya, bagi mencegah kejadian curi, dia turut membeli beberapa lampu limpah yang dihalakan terus ke sangkarnya supaya dapat mengawal projek yang diusahakannya sejak 10 tahun lalu.

“Kejadian curi ikan sangkar ini memang sudah lama berlaku, ia memaksa kami meningkatkan kawalan.

“Mereka bukan sahaja mengambil ikan sangkar malah makanan ikan yang berharga RM52 pun dicuri. Kami pernah hilang berguni-guni makanan ikan beberapa tahun lalu,” katanya.

Badri juga menggesa pihak berkaitan mengambil tindakan segera dengan memantau atau membanci jumlah bot yang didaftarkan dengan pihaknya.

“Pengusaha pula diminta mendaftarkan nama mereka dengan Jabatan Perikanan supaya mudah jabatan terbabit memantau dan mendapatkan data maklumat pengusaha,” katanya.

Seorang lagi pengusaha, Zainor Ruzaidi Zainal Abidin berkata, harga makanan ikan yang mahal turut menjadi penghalang perusahaan itu diperluaskan.

Menurutnya, perniagaan ikan sangkar di Temerloh adalah satu industri yang majoritinya dikawal orang Melayu.

Beliau menjelaskan, jika tidak ada kawalan dan usaha membantunya industri itu boleh lumpuh suatu hari nanti.

Katanya, pengusaha terbabit akan berdepan dengan harga makanan ikan yang sentiasa naik setiap tahun dan sehingga kini belum ada usaha atau idea daripada mana-mana pihak untuk mewujudkan kilang makanan ikan di daerah itu.

No comments:

Post a Comment