Belasah kerana permainan
Oleh JUNAIDI LADJANA
am@hmetro.com.my
KOTA KINABALU: Gara-gara permainan Internet, seorang remaja koma apabila dibelasah tiga rakan lelakinya menggunakan kepala tali pinggang selepas berlaku perselisihan faham di sebuah kafe siber di Jalan Sulaman Central, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, Kay Tamtali, 18, cedera parah di kepala selepas dibelasah tiga lelaki yang dipercayai tidak berpuas hati dengan permainan disertai mereka.
Difahamkan, berlaku pertengkaran mulut di antara mereka sebelum itu dan ketiga-tiga suspek yang tidak puas hati menunggu mangsa di luar kafe berkenaan.
Sebaik keluar, berlaku cabar mencabar antara mangsa dan semua suspek dan diakhiri dengan pergaduhan.
Dalam pergaduhan itu, seorang suspek melibas kepala mangsa menggunakan kepala tali pinggang, menyebabkan dia rebah dan tidak sedarkan diri.
Panik melihat mangsa terbaring berlumuran darah, semua suspek melarikan diri manakala orang ramai yang melihat kejadian itu menghubungi polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Rowell Marung ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya masih melakukan siasatan.
“Sebaik tiba di lokasi, polis menemui mangsa terbaring berlumuran darah sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment