Friday, November 19, 2010

Aibkan Orang Dalam FB

Diaibkan dalam Facebook

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Seorang ahli perniagaan wanita mendakwa dia diaibkan dalam laman web sosial Facebook dipercayai dilakukan oleh seorang lelaki yang pernah ditolak cintanya, dua tahun lalu.

Menurut mangsa, Sammi Lam Sin Yee, 26, dia telah diburuk-burukkan dalam satu akaun pengguna Facebook sebagai wanita yang mempermainkan lelaki dalam hubungan sebelum melesapkan duit mereka.

Katanya, dia percaya akaun Facebook itu sengaja dibuka oleh seorang individu bertujuan untuk mengaibkan dirinya di hadapan kenalan-kenalan dan ahli keluarga.

"Dalam akaun tersebut, pihak terbabit menggambarkan betapa jahatnya saya suka menggoda lelaki dan kemudiannya menipu wang mereka.

"Komen yang dipaparkan mengatakan saya telah menipu beberapa lelaki sebanyak RM300,000 sejak lima tahun lalu di Bahau, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini hari ini.

Sin Yee mendakwa, dia yakin ia merupakan angkara seorang ejen insurans yang dikenalinya dua tahun lalu selepas dia membeli polisi insurans daripada lelaki terbabit.

Katanya, lelaki berkenaan cuba memikatnya namun dia telah menolak.

Mulai saat itu, mangsa mula menerima pelbagai gangguan menerusi e-mel dan khidmat pesanan ringkas yang berbaur ugutan bahawa hidupnya tidak akan senang selepas ini.

"Kemarahan saya memuncak dengan apa yang berlaku baru-baru ini apabila saya diaibkan pula dalam Facebook.

"Perkara ini telah menjejaskan imej saya sebagai pemilik pusat tuisyen dan kerjaya sampingan sebagai ejen hartanah," jelas Sin Yee.

Dia bagaimanapun boleh bernafas lega kerana teman lelaki dan majikannya yakin dan percaya dia bukan wanita seperti yang dinyatakan dalam Facebook, malah ditemani kedua-duanya pada sidang akhbar hari ini untuk menjelaskan perkara sebenar serta membersihkan namanya.

Berikutan itu, sebagai langkah keselamatan, mangsa yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan telah membuat laporan polis di Balai Polis Kepong pada Isnin lalu.

Keluh Sin Yee, yang lebih membimbangkannya adalah segala butiran peribadinya seperti nombor MyKad, nombor pendaftaran kereta dan alamat tempat kerja turut disiarkan dalam Facebook.

No comments:

Post a Comment