Thursday, November 25, 2010

Doktor Belasah Perompak

Doktor gagalkan cubaan samun, belasah suspek

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Seorang doktor boleh dianggap berani apabila bukan sahaja berjaya menyelamatkan diri daripada diserang dan disamun dua lelaki bersenjatakan pisau malah membelasah salah seorang daripada mereka.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang dikenali sebagai Dr. Harriszamani Abu Bakar, 32, sedang bertugas bersama seorang jururawat di sebuah klinik swasta di Danau Kota, Setapak, pukul 8.45 malam semalam.

Turut berada di klinik itu ialah dua pesakit.

Insiden itu juga mungkin membuatkan kedua-dua suspek tidak 'senang duduk' apabila mangsa berjaya merampas beg sandang salah seorang suspek mengandungi dokumen peribadi miliknya.

Dokumen itu adalah penyata kewangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), borang nikah bertarikh pada minggu depan, dua MyKad iaitu milik suspek dan seorang wanita disyaki tunangnya.

Menceritakan detik-detik cemas itu, Dr. Haris berkata, semasa bertugas, klinik tersebut tiba-tiba dikunjungi oleh dua lelaki yang salah seorang daripadanya berpura-pura sebagai pesakit dan mengadu mengalami sakit perut dan cirit-birit.

Katanya, beliau kemudian memeriksa 'pesakit' berkenaan sebelum memberinya resit untuk mengambil ubat di bahagian kaunter.

"Ketika saya memeriksa pesakit lain, suspek yang berpura-pura sakit itu meluru masuk semula bersama rakannya ke dalam bilik saya.

"Mereka yang bersenjatakan pisau Rambo dan pemotong daging terus mengacukan senjata itu di leher dan perut saya serta meminta barangan berharga," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Harriszamani, kejadian itu disaksikan oleh jururawat yang berada di luar bilik itu melalui cermin kecil lalu keluar untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, berikutan itu, salah seorang suspek bertindak keluar dan cuba mengejar jururawat terbabit.

"Ketika suspek berada seorang diri, saya cuba merampas pisau pemotong daging yang dihunus di leher saya dan berjaya membelasah suspek.

"Dalam pergelutan itu, saya berjaya merampas beg sandang miliknya sebelum dia melarikan diri," katanya.

Harriszamani yang mengalami kecederaan ringan di tangan dan kaki kemudian membuat laporan di Balai Polis Setapak sejurus selepas kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi hari ini mengesahkan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya sedang memburu kedua-dua suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cuba merompak.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment