Tersepit di antara suami dan ibu
SAYA baru berkahwin selama setahun. Namun kami dalam hubungan jarak jauh kerana tuntutan kerja. Suami di selatan, saya di utara.
Namun kami bergilir-gilir bertemu. Perancangan asalnya, saya akan mengikut suami namun masih ditangguhkan kerana saya baru saja melahirkan anak.
Baru-baru ini, ada perselisihan faham antara suami dan ibu saya. Sebenarnya cara ibu saya memang agak kasar sedikit, tetapi hanya orang yang kenal saja dapat memahami ibu.
Itulah yang berlaku kepada suami saya sekarang. Kata-kata ibu saya membuatnya marah.
Akibatnya, suami memaki hamun ibu dengan pelbagai kata kesat termasuk terkeluar perkataan babi.
Suami juga mengatakan sepatutnya dari dulu lagi dia halau ibu saya keluar dari rumah saya (rumah ini milik saya hasil titik peluh ibu bapa saya iaitu sebelum saya berkahwin).
Sejak bergaduh, suami hanya SMS dan telefon saja, bertanya khabar saya dan anak. Saya tertekan dengan keadaan ini dan saya tersepit antara ibu dan suami.
Siapakah yang patut saya utamakan? Saya kecewa dengan sikap suami dan kini rasa hilang cinta, hilang hormat kepadanya gara-gara panggilan babi terhadap ibu saya.
Apakah saya perlu patuh kepada suami walaupun dia menghina ibu?
Saya serba salah kerana ibu dan keluarga saya sudah tidak dapat menerima suami saya lagi.
Bagaimana pula jika saya berpihak pada ibu, adakah saya berdosa pada suami? Saya rasa ingin berpisah saja dengan suami.
SABARIAH
Johor
ISLAM mengajar umatnya supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa masing-masing.
Ia adalah perintah umum sama ada seseorang itu sudah berumah tangga atau tidak.
Al-Quran menjelaskan bahawa Allah memerintah manusia supaya menyembah Allah dan berbuat baik kepada ibu bapa terutama apabila mereka sudah berusia dan lemah seperti dalam firman-Nya: "Dan Tuhanmu perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan rendahkanlah dirimu kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: 'Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang yang bertujuan baik mematuhi perintah-Nya, maka sesungguhnya Ia adalah Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat.'" (Surah al-Isra' ayat 23-25) .
Berbuat baik kepada ibu bapa adalah tanggungjawab setiap orang anak termasuk berbuat baik kepada ibu bapa ialah mentaati, menghormati, memelihara mereka ketika tua dengan baik dan mendoakan mereka supaya diberi rahmat oleh Allah.
Anak perlu menunaikan amanat dan pesan mereka, menghubungkan silaturahim dan berbuat baik kepada kerabat dan sahabat-handai mereka.
Apabila setiap anak memahami tanggungjawab dan perintah Allah itu tidak timbul perselisihan dalam keluarga terutama dengan ibu bapa sendiri atau keluarga mentua.
Sekiranya berlaku perselisihan seperti dalam kes di atas, anak hendaklah berlapang dada dan mengambil sikap merendah diri dengan ibu bapa dan memaafkan mereka.
Banyakkan berdoa untuk mereka supaya perselisihan tidak bertambah runcing. Sikap sombong dan kasar terhadap mereka tidak sepatutnya lahir daripada anak.
Kata kesat dan keji perlu dihindarkan. Rumah tangga puan pula, ia hendaklah dijaga dan jangan memilih untuk berpisah semata-mata atas sebab di atas.
Sebagai isteri anda hendaklah berusaha mempertahankan dan mengembalikan keharmonian rumah tangga dan keluarga. Semua masalah dapat diselesaikan apabila ada keikhlasan dalam diri masing-masing.
Dengan doa dan usaha tentu Allah memberi petunjuk dalam menyelesaikan masalah di atas. Semoga rumah tangga akan bertambah bahagia apabila kesemua bersatu hati.
No comments:
Post a Comment