Sabtu November 6, 2010
Jurugambar Bernama Kagum Dengan Persediaan Terperinci Pegawai Hillary
PUTRAJAYA: Menjadi satu pengalaman amat berharga buat jurugambar Bernama ketika membuat liputan lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Rodham Clinton baru-baru ini.
Mungkin tidak setanding pengalamannya merakam gambar peperangan di Iraq tujuh tahun lalu, tetapi Harry Salzman Abu Bakar menganggap persediaan sebelum mengambil gambar pegawai diplomat tertinggi negara maju itu harus diteladani bukan sahaja buat dirinya tetapi bagi pemimpin-pemimpin yang ingin gambar mereka menjadi lebih menonjol.
Apa yang diminta oleh pegawai pengiring Clinton beberapa minit sebelum majlis bermula mungkin dilihat remeh tetapi itu merupakan perincian bagi mendapatkan hasil gambar yang terbaik dan menjadikan pemimpin mereka itu kelihatan lebih menyerlah.
"Sebagai satu-satunya jurugambar mewakili media rasmi saya diajak berbincang tentang persediaan untuk mengambil gambar bekas wanita pertama Amerika Syarikat.
"Saya diberitahu lebih awal warna pakaian yang akan dipakai oleh Secretary Clinton agar dapat menyediakan penataan cahaya yang sesuai," katanya.
Ketika itu Harry Salzman ditugaskan untuk mengambil gambar majlis menandatangani tiga perjanjian persefahaman antara Malaysia dan Amerika Syarikat di Pejabat Perdana Menteri, di sini Selasa lalu.
"Mereka juga bertanya kepada saya keadaan manakah yang sesuai bagi posisi badan pemimpin itu sama ada mengadap ke hadapan atau mengiring ketika berdiri untuk bersalaman selepas menandatangani perjanjian.
"Apabila saya bersetuju posisi bagaimana yang saya mahu, mereka terus menandakan di atas lantai kedudukan yang harus Secretary Clinton berdiri kelak," katanya.
Hasilnya jika dilihat daripada gambar yang diambil, memang anda akan lihat posisi beliau kelihatan 'segak' dan 'kemas' berbanding orang di sekelilingnya, kata anak Perlis ini.
Malah Harry Salzman berkata cara Clinton memegang folder perjanjian sambil bersalaman juga dititikberatkan bagi menunjukkan penghargaan dan mencerminkan "ia urusan yang penting."
Harry Salzman juga berkata beliau sempat melihat bagaimana pegawai-pegawai negara itu menitikberatkan kedudukan bendera yang diletakkan di sebelah pemimpin itu agar kelihatan 'segar' dan 'bermaya'.
"Sebatang penyangkut baju diletakkan dalam gulungan bendera itu agar kelihatan lebih rapi.
"Selain itu, buku lawatan dan folder perjanjian yang bakal ditandatangani Clinton juga ditanda lebih awal agar mudah pemimpin itu untuk menurunkan tandatangannya," katanya.
Malah mereka tidak menggalakkan kehadiran 'dayang-dayang' untuk menunjukkan bahagian mana yang perlu ditandatangani ketika majlis berlangsung, katanya.
Warna tirai baldu juga ditetapkan sebagai biru gelap, digunakan di belakang upacara menandatangani perjanjian dan dibiarkan kosong tanpa sebarang latar belakang yang ditulis berkaitan majlis berkenaan.
Mereka mengatakan mereka tidak mahu menggunakan tirai berwarna terang atau berkilat supaya penataan cahaya lebih baik untuk kamera.
"Cuba kita fikirkan mengapa mereka perlu memikirkan tentang semua ini untuk pemimpin mereka," katanya.
Harry Salzman berkata untuk meletakkan replika kecil kapal terbang bagi majlis memeterai perjanjian antara Malaysia Airlines dan Pratt and Whitney juga diperincikan.
"Saya ditanya di mana mahu diletakkan replika itu. Selepas mendapat sudut yang saya mahu, sekali lagi dibuat satu tanda di atas meja di mana apabila giliran perjanjian itu tiba untuk ditandatangani, replika itu akan diletakkan di tempatyang saya mahukan."
Harry Salzman berkata beliau turut teruja untuk mengambil gambar setiausaha negara itu yang dilihat pandai membuat 'gerakan' yang disukai oleh mana-mana jurugambar untuk merakam gambarnya.
"Beliau kelihatan 'hidup' walaupun gambar diambil dalam bentuk 'stills. Pergerakan tangan, senyuman yang lebar dan pandangan yang lembut tapi tepat ke arah lensa dari matanya yang biru.
"Saya berharap pemimpin dan pegawai lain juga dapat menonjolkan diri sepertinya walaupun setakat bergambar. Gambar turut memberi impaknya. Bukankah satu gambar boleh memberi seribu satu cerita?" - BERNAMA
No comments:
Post a Comment