Sunday, November 7, 2010

Larikan Gadis Tempatan


Laporan Khas: Lelaki asing ghairah bawa lari gadis tempatan
Oleh Mohd Azis Ngah dan Alzahrin Alias
bminggu@bharian.com.my
2010/11/07


Kes gadis bawah umur hilang semakin membimbangkan

KUALA LUMPUR: Kes warga asing melarikan gadis tempatan ke negara asal mereka semakin membimbangkan dengan purata dua hingga tiga kes sebulan sepanjang tahun ini dengan kebanyakan kes membabitkan gadis bawah umur.

Walaupun kes seperti itu kini agak kurang didedahkan hingga dianggap ‘sejuk’ terutama selepas kes membabitkan lelaki Lombok, Indonesia, namun senario sebenar membuktikan keghairahan membawa pulang anak gadis tempatan tidak pernah pudar.
Jumlah itu hanya berdasarkan laporan diterima polis dan dirujuk kepada Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Malaysia. Jika dikira kes tidak dilaporkan, jumlahnya barangkali lebih besar termasuk kes membabitkan wanita dewasa.

Gadis yang hilang atau melarikan diri itu berusia seawal 14 hingga 24 tahun termasuk yang masih bersekolah dan dianggap terlalu mentah membuat pilihan.

Sejak Januari hingga Jun lalu, Biro Aduan Komuniti Pemuda itu sudah memulakan siasatan terhadap 15 kes termasuk beberapa kes yang sudah diselesaikan.

Pendedahan itu tidak menghairankan kerana berdasarkan laporan Bukit Aman mengenai siasatan kes orang hilang, terdapat 16 kes gadis dan remaja wanita yang dilaporkan hilang dalam tempoh tiga bulan sejak Julai hingga September lalu.
Kebanyakan mereka berusia 14 hingga 30 tahun dan Biro Aduan Komuniti Pemuda tidak menolak kemungkinan ada antara mereka terbabit dalam gejala yang sama, iaitu mengikut teman lelaki atau dilarikan teman lelaki.

Ketua Biro Aduan Komuniti, Datuk Mohd Khairun Aseh menyifatkannya sebagai serius dan jelasnya, berdasarkan pengalaman mengendalikan kes, beliau mendapati warga asing cukup berbangga dengan tindakan mereka walaupun menyalahi undang-undang.

“Biro terima 15 kes melarikan diri bersama kekasih warga asing atau anak gadis bawah umur dilarikan ke negara jiran sejak Januari hingga Jun lalu. Walaupun nisbah kes tidak begitu besar berbanding keseluruhan 300 aduan pelbagai kes, ia berpotensi untuk meningkat.

“Bagi kes bawah umur, secara automatik ia dikategorikan sebagai melarikan gadis mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 dan kebanyakan mereka diseludup ke sana secara haram. Mereka jadi pendatang haram di sana dan itu kesalahan besar,” katanya.

Katanya, gadis dewasa akan dibantu dengan memberikan nasihat dan rundingan, tetapi keluarga mereka mesti ada keinginan untuk selesaikan kes kerana ada keluarga yang kecewa hingga berputus asa untuk selamatkan anak mereka.

Biarpun Lombok masih dilabel kawasan paling tinggi kes melarikan gadis Malaysia, Khairun menjelaskan trend semakin berubah dengan lelaki Indonesia di kawasan lain juga terbabit seperti dari Kalimantan, Surabaya dan Yogyakarta , Indonesia.

Ketika ini pihaknya memfokuskan kes gadis bawah umur yang disifatkan mudah terpedaya dengan pujuk rayu hingga terlanjur dengan teman lelaki dan ada yang mengandung anak luar nikah.

Mengikut Akta Kanak-Kanak, mereka berusia bawah 18 tahun akan diberi perlindungan kerana tidak boleh membuat keputusan berdasarkan kemahuan atau pemikiran sendiri. Segala yang berlaku ke atas mereka akan disabitkan seperti gangguan atau serangan seksual.

“Dalam kebanyakan kes terlanjur, biasanya gadis akan diberi bayangan mereka akan mengikut ‘sang kekasih’ ke negara asal dan tidak akan terabai, kononnya untuk menyelesaikan masalah. Sebenarnya itu menambah masalah kerana tidak menggunakan dokumen sah,” katanya.

Difahamkan, kos membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di sana selepas melarikan diri ke Indonesia termasuk Lombok dianggar mencecah RM30,000 seorang.

No comments:

Post a Comment