Saturday, November 20, 2010

Telur Masin


Telur masin ubah hidup Md. Isa

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

Sebahagian itik dipelihara Md. Isa Ariffin bagi mendapatkan telur untuk menghasilkan telur masin di Kampung Pulau Pisang, Mukim Jeram, Jitra. - utusan/Kamal Basir

JITRA 19 Nov. - Sebut sahaja telur masin, pasti terlintas di fikiran mengenai telur yang diawet dengan menggunakan garam untuk mengekalkan rasa masin dan ketahanannya.

Bagi sesetengah orang pula, telur masin merupakan suatu kemestian dan sebagai pelengkap rasa ketika menjamu selera.

Telur masin yang paling popular bagi masyarakat di negara ini adalah jenis telur itik kerana kuningnya yang lebih besar.

Siapa menduga, penglibatan secara sampingan dalam pemprosesan telur masin kira-kira 20 tahun lalu telah mengubah hidup Md. Isa Ariffin, 55, apabila ia kini menjadi sumber mata pencarian tetap keluarganya.

Daripada seorang pesawah, lelaki yang menetap di Kampung Pulau Pisang, Mukim Jeram di sini, menjadi usahawan berjaya dengan mampu meraih pendapatan bersih mencecah ribuan ringgit sebulan menerusi jualan telur masin.

Bahkan menerusi hasil perniagaan telur masin yang diusahakan syarikatnya, Seri Eika Enterprise, Md. Isa mula mengorak langkah lebih jauh dengan mempelbagaikan kegiatan termasuk menternak 80 ekor lembu, 30 ekor kambing dan menanam 36,000 pokok nanas sebagai pendapatan tambahan.

Bagaimanapun, kejayaan yang dikecapi olehnya tidak datang secara bergolek, sebaliknya Ia diperoleh melalui kegigihan dan ketekunannya mengusahakan perniagaan berkenaan.

Ia bermula sekitar 1988 apabila Md. Isa yang pada ketika itu merupakan seorang petani membeli 200 ekor itik telur spesies khaki campbell untuk diternak bagi menambah pendapatan keluarga.

Ketika mencari makanan tambahan ternakannya itu, Md. Isa menemui jalan dengan mengambil sisa makanan seperti lebihan nasi dari kantin sebuah sekolah menengah di sini pada masa itu.

"Suatu hari, pengusaha kantin sekolah tersebut bertanyakan mengapa tidak membuat telur masin daripada telur yang dihasilkan itik ternakan saya.

"Dia sedia mengambil telur masin itu jika saya berjaya memprosesnya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Berikutan cadangan tersebut, katanya, dia mula mempelajari cara-cara membuat telur masin secara tradisonal menerusi arwah ibunya, Aishah Abdullah semasa hayatnya.

Buat permulaan, kata usahawan bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) itu, dia hanya cuba memproses sebanyak 20 biji telur itik dan selepas 15 hari diperam, usahanya itu berhasil apabila berjaya menghasilkan telur masin yang sedap rasanya.

"Selepas itu, saya tidak menoleh ke belakang lagi dengan terus memproses telur masin untuk dipasarkan di sekitar Kedah dan Perlis.

"Jumlah yang diproses secara tradisonal itu juga semakin meningkat dari semasa ke semasa," katanya.

Md. Isa memberitahu, pada masa ini, perusahaannya secara purata memproses sebanyak 3,300 telur masin setiap tiga hari sekali dengan dibantu dua pekerja bagi melancarkan perniagaannya itu.

Telur itik berkenaan, menurutnya, diperoleh menerusi ternakannya sendiri iaitu 700 biji sehari manakala 400 biji lagi dibeli daripada penternak lain bagi memenuhi permintaan pasaran.

Jika dahulu, dia memasarkan telur masin di pasar-pasar malam, tetapi sekarang jualan dibuat melalui cara runcit dan borong.

Katanya, kebanyakan pembeli melalui jualan runcit datang sendiri ke rumahnya, begitu juga peraih yang membeli secara borong.

"Menjelang Ramadan, kebiasaannya permintaan pasaran mencecah 5,000 biji sehari," katanya.

Dia yang mempunyai tujuh anak berusia antara tujuh tahun hingga 25 tahun itu memberitahu, keluarganya termasuk isteri, Fatimah Mat, 51, banyak membantu dari segi pemprosesan dan pemasaran sehingga menubuhkan Seri Eika Enterprise pada 1997.

Selain itu, katanya, agensi kerajaan seperti MADA banyak membimbingnya seperti memberi kursus dan menyediakan peralatan, di samping membina sebuah bengkel di belakang rumahnya.

"Dulu saya pernah merasai kesukaran menternak itik, tetapi apabila MADA membawa pergi berkursus dan melihat orang lain boleh berjaya, saya cekalkan hati untuk berusaha. Alhamdulillah, usaha ini membuahkan hasil," katanya.

Selain itu, katanya, dia turut memberi kursus kepada bakal usahawan baru yang berminat dalam bidang itu.

Mengenai perancangan masa depan, Md. Isa berkata, dia berhasrat memperbesarkan lagi perniagaannya itu termasuk menambah bilangan ternakan itik.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment