Wednesday, January 5, 2011

Buang bayi



Tinggal bayi bawah pokok
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Shamsul Munir Safini


DI SINI...Norabiatul menunjukkan lokasi bayi malang berkenaan dibuang.
KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki dipercayai berusia enam hari ditemui masih bernyawa dalam sebuah beg galas berwarna hitam ditinggalkan di bawah pokok di luar pagar sebuah sekolah rendah di Persiaran Titiwangsa di sini, semalam.

Difahamkan, bayi malang itu ditinggalkan di kawasan berkenaan lebih sejam sebelum ditemui orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, bayi lelaki terbabit terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) disebabkan hampir lemas kerana ditinggalkan dalam beg galas yang tertutup, namun keadaannya kini dilaporkan stabil.

Saksi kejadian, Norabiatul Adawiyah Yunus, 23, berkata ketika kejadian, dia dan rakannya, Nizul Ahmad, 21, baru pulang dari tempat kerja apabila ternampak sebuah beg galas ditinggalkan di bawah pokok di luar pagar sekolah berkenaan.


“Curiga dengan keadaan beg itu, saya kemudian meminta Nizul melakukan pemeriksaan. Sebaik membuka beg galas itu, kami mendapati kandungannya adalah tuala putih sebelum segera meletakkannya semula.


“Sebaik meletakkan beg itu, kami terdengar suara bayi menangis membuatkan kami terkejut dan berpandangan antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini semalam.

Katanya, dia dan Nizul kemudian membuka semula beg galas itu sebelum terkejut apabila mendapati seorang lelaki bayi cukup sifat berada dalam beg berkenaan.

“Keadaan bayi itu agak lemah menyebabkan kami segera menahan beberapa kenderaan yang lalu lalang di kawasan itu untuk mendapatkan bantuan tetapi gagal.

“Kami bernasib baik apabila sebuah kenderaan polis kebetulan melalui kawasan itu.

“Sebaik menahan kenderaan itu, kami segera memaklumkan penemuan berkenaan dan anggota polis terbabit segera menghubungi pihak berkaitan,” katanya.

Sebuah ambulans tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian sebelum bayi lelaki itu dihantar ke HKL untuk pemeriksaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan penemuan bayi berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

“Saya berbangga dengan keberanian dan keprihatinan kedua-dua saksi kejadian yang bertindak pantas memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

“Tindakan mereka berjaya menyelamatkan satu nyawa. Saya berharap tindakan mereka akan menjadi contoh kepada orang ramai,” katanya.

Zainuddin berkata, pihaknya akan menggunakan pendekatan menyeluruh bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab membuang bayi berkenaan.

Oleh itu, polis meminta orang ramai yang mengetahui atau ada maklumat mengenai kejadian berkenaan agar menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment