Friday, January 7, 2011

Iri Hati

Jauhi sikap hasad dengki, perosak silaturahim

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON
KEINGINAN supaya nikmat atau kebahagiaan yang dimiliki seseorang lenyap sekalipun tidak berpindah kepada sesiapa adalah bibit-bibit kedengkian yang menjadi perosak dalam kehidupan. Mana tidaknya seseorang yang berkelakuan buruk seperti ini akan melakukan apa sahaja tindakan negatif untuk memuaskan nafsu serakah yang telah mendominasi diri.

Berikutan dengan itu, setiap anggota dalam masyarakat hendaklah berusaha mengelak daripada terjerumus ke lembah hina dengan menghindar diri daripada perlakuan keji ini.

Implikasi daripada hasad dan dengki boleh menyebabkan amalan baik yang dilakukan sirna tanpa sebarang nilai yang diharap-harapkan. Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda dengan maksudnya: "Kedengkian memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar". (Riwayat Abu Daud).

Sayugianya, amalan buruk seperti ini dijauhi kerana ia juga merosakkan hubungan silaturahim antara sahabat handai, jiran tetangga, dan rakan sekerja. Lebih membimbangkan apabila ia menyumbang pula kepada sifat buruk yang lain seperti dendam yang tidak berkesudahan dan saling berusaha untuk memburuk-burukkan dan memfitnah satu sama lain.

Bayangkan pula bagaimana sekiranya penyakit ini menular kepada seluruh anggota masyarakat, yang sudah barang tentu akan memporak-perandakan kehidupan sejagat.

Setiap individu sewajarnya tidak berasa iri hati dan dengki apabila ada kalangan rakan sejawat yang dinaikkan pangkat ataupun beroleh laba lumayan hasil perniagaan yang diusahakan. Seharusnya ia menjadi motivasi kepada semua untuk berusaha dan bersungguh-sungguh dalam apa jua bidang yang diceburi tanpa berasa dengki dan cemburu atas nikmat yang diperoleh oleh orang lain.

Sedarlah itu semua merupakan takdir Tuhan yang berkuasa memberi kepada sesiapa yang istimewa dan berkuasa mutlak pula untuk mengambil daripada sesiapa yang dikehendaki.

Sejarah silam jelas membuktikan betapa Qabil dan Habil saling berbunuh-bunuhan hanya kerana dengki dan cemburu terhadap saudaranya. Begitu juga Nabi Yusuf as dibuang ke dalam perigi buta oleh adik-beradiknya hanya kerana dengki dan iri hati.

Malah perkara ini jugalah yang pernah dibimbangi oleh Nabi Muhammad SAW seperti mana sebuah hadis yang bermaksud "Perkara yang paling aku takuti terjadi kepada umatku ialah banyaknya harta pada mereka lalu mereka saling mendengki dan berbunuh-bunuhan". (Riwayat al-Tirmiziy)

Lalu apa yang patut dilakukan untuk menghilangkan perasaan hasad dengki yang sering menyelubungi jiwa makhluk bergelar manusia. Dalam konteks ini para ulama seperti al-Ghazali berpendapat ubat yang mujarab bagi menghilangkan penyakit ini ialah ilmu dan amal.

Dengan pengetahuan agama yang sempurna seseorang mampu menyedari betapa penyakit dengki merupakan penyakit yang sangat berbahaya kerana seseorang sebenarnya membenci takdir (qada' dan qadar) yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Ini kerana pendengki buat pertama kalinya tidak suka nikmat yang telah dibahagi-bahagikan dan ditentukan oleh Allah SWT kepada para hambanya. Yang kedua, tidak mahu menerima keadilan dan kesaksamaan Allah yang Maha bijaksana mengatur segala sesuatu.

Yang ketiga, terlibat menyakiti hati kaum Muslimin yang punya hak dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan bersama. Yang keempat menyalahi para Rasul, Nabi dan Wali Allah yang sentiasa mendekatkan diri dengan amalan kebaikan.

Yang kelima mengikut telunjuk Iblis dan golongan kafir yang punya perasaan hasad dengki dan selalu mengidamkan bencana dan kerosakan kepada kaum Muslimin dan yang terakhir pendengki akan sentiasa sakit dan tersiksa selagi mana nikmat yang dimiliki oleh seseorang tidak hilang ataupun bertukar tangan kepadanya.

Manakala amal yang bermanfaat untuk menghilangkan keburukan itu ialah dengan memuji dan menyanjung seseorang jika dengki menyebabkan dia mencela dan mencerca orang lain. Bersikaf tawaduk dan merendah diri pula sekiranya benci telah menyebabkan sombong dan meninggi diri.

Tidak dinafikan dalam dunia yang dipenuhi golongan bijak pandai kini masih terdapat golongan yang berpenyakit hasad dengki. Ia kemudiannya mengundang musibah ataupun bencana yang juga merupakan ketetapan Ilahi.

Untuk itu setiap makhluk seharusnya bersabar dan sentiasa mengadukan hal kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui. Lambat laun pelaku jenayah seperti ini akan kembali jua bertemu Allah SWT yang tidak alpa menilai segala perbuatan meskipun hanya sebesar zarah daripada kebaikan dan keburukan yang dilakukan semasa di dunia.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran

dan Kefahaman Islam (CITU) UiTM Kampus

Bandaraya Johor Bahru

TAJUK-TA

No comments:

Post a Comment