Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Saturday, January 1, 2011
Kalau sudah Cinta
Ikat cinta di depot
Oleh Mohd Zaidi Ya’acob
am@hmetro.com.my
AKHIRNYA...Siti Jawari (kiri) bersama Muhammad Nurhisham diarak pegawai imigresen selepas majlis pernikahan, semalam.
ALOR GAJAH: Biarpun bakal isterinya ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo di sini, ia tidak menjadi penghalang buat seorang pengusaha restoran apabila nekad menikahi pasangannya dalam majlis sederhana di Surau Al-Taiyibah di pusat tahanan itu, semalam.
Ibarat cinta tidak mengenal sempadan, Muhammad Nurhisham Gan Abdullah, 53, duda anak satu dengan sekali lafaz selamat diijabkabulkan dengan janda anak satu, Siti Jawari, 39, yang berasal dari Surabaya, Jawa Timur, Indonesia kira-kira jam 11.50 pagi dengan mas kahwin RM40.
Pasangan itu dinikahkan Pendaftar Nikah Cerai Negeri Melaka, Abdul Halim Tawil, 43, dengan kehadiran kira-kira 50 kakitangan Jabatan Imigresen diketuai Komanden pusat tahanan itu, Abu Bakar Sidek Hasan termasuk ibu dan adik perempuan pengantin lelaki.
Muhammad Nurhisham dari Jalan Bendahara, Bandar Hilir, yang mengusahakan restoran di Jalan Hang Tuah berkata, dia berkenalan dengan isterinya itu selama dua tahun sebelum merancang berkahwin pada hari ini (semalam), tetapi tempat pernikahan terpaksa diubah apabila isterinya itu ditahan imigresen 22 Disember lalu.
Menurutnya, pengalaman melangsungkan majlis pernikahan di depot tahanan adalah sesuatu yang tidak dijangka, asalkan menepati ajaran Islam.
“Alhamdullillah, akhirnya semua dapat diselesaikan hari ini (semalam). Kami tidak mahu menunggu lama sebab itu majlis pernikahan ini diadakan juga walaupun di dalam depoh.
“Kami hanya mampu merancang, tetapi Allah s.w.t. menentukan dan saya berharap selepas ini apabila isteri dibebaskan, dia akan menetap di negara ini bersama saya dan anak perempuannya (daripada perkahwinan terdahulu).
“Pada mulanya saya amat risau dengan perkahwinan kami mungkin akan tertangguh, namun saya berjumpa dengan pegawai imigresen di depoh berkenaan untuk memohon pernikahan dijalankan dan mereka bersetuju memberi kebenaran,” katanya.
Siti pula berkata, hatinya gembira bercampur sedih kerana tidak menduga akan melangsungkan pernikahan di depoh tahanan bersama suaminya.
“Saya datang semula ke Malaysia pada 6 November lalu bagi menguruskan majlis pernikahan, sebelum itu ditahan pihak imigresen di sebuah pusat beli-belah kerana disyaki bekerja tanpa permit di negara ini.
“Bagaimanapun, saya tetap gembira dan mungkin ada hikmah. Kami ucapkan terima kasih kepada imigresen terutama Abu Bakar kerana membenarkan melangsungkan majlis pernikahan yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat,” katanya yang mempunyai anak lelaki berusia 24 tahun, hasil perkahwinan pertama di Indonesia.
Sebaik selesai majlis, Muhammad Nurhisham terpaksa meninggalkan isterinya di depoh itu untuk sementara kesnya selesai.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, upacara pernikahan itu adalah yang pertama kali diadakan di pusat tahanan berkenaan.
“Pernikahan ini dilangsungkan atas dasar kebajikan terhadap tahanan kerana mereka juga adalah manusia dan perlu dilayan dengan baik.
“Selain itu, kami juga mengadakan majlis kenduri secara bergotong-royong dan saya mendoakan pasangan ini akan kekal bahagia hingga ke akhir hayat,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment