Monday, January 3, 2011

Mau Tiket Murah

Kaji semula harga tiket untuk naiki Menara Kuala Lumpur

SAYA telah membaca keluhan Mat Tarzan di dalam ruangan ini baru-baru mengenai harga tiket untuk menaiki Menara Kuala Lumpur yang terlalu tinggi. Orang dewasa dikenakan bayaran RM38 dan kanak-kanak RM28.

Saya juga telah membaca jawapan pihak Menara Kuala Lumpur yang menjelaskan itulah harga sebenar tiket yang dikenakan untuk menaiki Kuala Lumpur. Mereka juga menjelaskan tidak ada keistimewaan separuh harga diberikan kepada rakyat tempatan.

Jika begini keadaannya, pada padangan saya memanglah harga tiket ini terlalu tinggi. Siapakah yang menetapkan harga ini, kerajaan atau pihak Menara Kuala Lumpur sendiri?

Saya percaya ketika mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menimbulkan idea membina menara berkenaan, ia adalah untuk menjadi simbol kebanggaan negara dan rakyat. Pada masa sama ia untuk tujuan pelancongan bagi menarik pelancong tempatan dan luar negara.

Justeru saya fikir pihak Menara Kuala Lumpur seharusnya meneliti harga tiket yang dikenakan. Harga tiket ini terlalu tinggi walau untuk seorang individu. Bayangkan jika ia melibatkan individu yang mempunyai jumlah anggota keluarga yang ramai dan ingin menaiki Menara Kuala Lumpur.

Peritnya tentu lebih dirasai oleh golongan kurang berkemampuan. Tentunya golongan ini juga berkeinginan untuk menaiki menara berkenaan.

Saya bertanya kepada saudara saya yang pernah menaiki menara berkenaan, apakah yang ada di atas puncak menara itu? Menurut beliau, kita naik lif, sampai di puncak boleh melihat pemandangan di sekeliling Kuala Lumpur. Selain itu ada juga gerai cenderamata selain ambil gambar.

Jika itu sahaja tarikannya, saya cadangkan pihak menara Kuala Lumpur mengkaji semula harga tiket untuk menaiki menara itu. Turunkan harga bagi membolehkan lebih ramai rakyat negara ini menaiki menara yang menjadi kebanggan negara.

MAT ROKET

Seremban, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment