Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Thursday, January 6, 2011
Belasah Perompak
Perompak toreh perut
KEPALA BATAS - “Selepas berasa sakit ditoreh menggunakan kapak kecil di bahagian perut, saya nekad untuk menjerit kerana takut perkara lebih teruk berlaku.
“Akhirnya tindakan menjerit itu membuatkan mereka ketakutan sebelum melarikan diri.”
Begitulah tindakan yang dibuat, R Maliga, 48, dari Kampung Air Melintas Kecil di sini, hingga berjaya menggagalkan rompakan yang berlaku dalam rumahnya pada jam 12.15 tengah hari semalam.
Tindakan beraninya itu juga membuatkan dua perompak terbabit gagal meloloskan diri sebelum keduanya teruk dibelasah selepas penduduk kampung.
Ibu kepada enam anak itu berkata, ketika kejadian hanya dia seorang di rumah dan sedang membasuh bilik air selepas selesai memasak.
“Saya terkejut apabila dua lelaki muncul di hadapan pintu bilik air sebelum salah seorang daripada mereka mengacukan kapak kecil ke bahagian muka saya, manakala rakannya yang datang dari arah belakang memaut leher dan cuba menyumbatkan kain ke mulut saya.
“Ketika cuba meronta akibat sesak nafas, suspek yang memegang kapak itu menoreh perut dan bimbang akan lebih teruk dicederakan saya menjerit sekuat hati,” katanya.
Menurutnya, jeritan itu didengar jirannya, Azlan Din, 43, yang ketika itu sedang bersiap untuk ke pekan Tasek Gelugor yang kemudiannya turut sama menjerit selepas melihat dua lelaki terbabit keluar dari rumahnya dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, jeritan Azlan itu menyebabkan dua perompak itu yang pada awalnya cuba melarikan diri ke arah jalan besar berpatah balik dan melarikan diri ke hutan di belakang rumahnya.
Azlan yang disertai penduduk kampung seramai lima orang yang menyedari kejadian itu kemudiannya mengejar dua suspek terbabit sejauh 200 meter sebelum berjaya memberkas mereka sejurus selepas itu.
Kedua suspek itu kemudian teruk dibelasah penduduk kampung sebelum diserahkan kepada pihak polis yang tiba ke tempat kejadian selepas dimaklumkan kejadian itu.
Suami mangsa, S Balakrisnan, 52, berkata, dia bergegas pulang dari tempat kerja di pekan Tasek Gelugor selepas dimaklumkan kejadian itu dan berharap isterinya selamat.
“Mujur dia menjerit, jika tidak mungkin berlaku perkara yang tidak diingini.
“Mungkin pintu rumah tidak berkunci menyebabkan dua perompak terbabit mudah memasuki rumah,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Tasek Gelugor selepas itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment