Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Thursday, January 6, 2011
Kalau Nak Beranak
Lahir anak depan dewan sekolah
KOTA TINGGI – Seorang jurutera wanita di Johor Bahru mencatat sejarah tersendiri apabila melahirkan seorang bayi lelaki di depan Dewan Seri Penawar Sekolah Menengah (SM) Sains Kota Tinggi, Bandar Penawar, di sini, semalam.
Bayi lelaki seberat 1.8 kilogram itu dilahirkan pada jam 11.45 tengah hari semalam sambil disaksikan kira-kira 450 orang termasuk guru, pelajar sekolah dan ibu bapa pelajar pada majlis pendaftaran pelajar tingkatan 1 di sekolah itu.
Norhidayah A Rahman, 32, selamat melahirkan bayi comel itu dengan bantuan seorang doktor swasta yang secara kebetulan berada di sekolah itu atas urusan menghantar salah seorang anaknya ke sekolah terbabit.
Norhidayah yang ketika itu menghantar adik bongsunya, Muhammad Sollehuddin, 13, mula berasa sakit di bahagian perut ketika sedang duduk di sebuah kerusi di dewan itu sebelum air ketubannya pecah yang menandakan bahawa dia bakal melahirkan anak.
“Saya mula rasa sakit perut dan minta pertolongan kepada pelajar untuk mencari tempat rehat, tetapi belum sempat untuk berehat tiba-tiba air ketuban saya pecah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Norhidayah berkata, dia bersyukur kerana pada ketika itu ada seorang doktor dari sebuah klinik swasta di Bandar Penawar di sini, yang membantunya semasa proses kelahiran pada ketika itu.
“Mujur pada waktu itu ada ibu dan ayah saya serta mendapat pertolongan daripada semua guru dan pelajar di sekolah terbabit dan saya amat berterima kasih kepada mereka yang membantu termasuk guru yang menghantar saya ke Gedung Ubat Bandar Penawar,” katanya.
Bagaimanapun Norhidayah berkata, anak ketiganya itu dimasukkan ke dalam inkubator di Hospital Kota Tinggi untuk tujuan pengawasan dan penjagaan rapi ekoran bayinya itu tidak cukup bulan dan berkemungkinan akan dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
“Bayi ini ada komplikasi sedikit kerana tidak cukup sembilan bulan dan ia dilahirkan setelah kandungan berusia 32 minggu (lapan bulan),” katanya.
Sementara itu, Pengetua SM Sains Kota Tinggi Bandar Penawar, Hassan Topit berkata, lebih menggembirakan wanita itu adalah bekas pelajar di sekolahnya ketika mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Arang, Batu Pahat, Johor.
“Alhamdulillah ini adalah rezeki kepada kami seluruh warga sekolah dan saya gembira kerana mungkin ada hikmah di sebalik kelahiran bayi terbabit yang disambut oleh sebahagian warga sekolah,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment