Tuesday, January 4, 2011

Dah Tua baru Boleh ambil Ijazah

Genggam diploma pada usia 78


USIA sudah meningkat dan bersara bukan penghalang seseorang meneruskan keinginan menimba ilmu, sekali gus membuktikan jika ada kemahuan, kejayaan boleh dicapai meskipun kelihatan mustahil.

Itulah yang dibuktikan pesara kerajaan Mohamed Hasan, 78, yang sanggup mengorbankan waktu lapangnya untuk meneruskan pengajian di Pusat Berterusan Universiti Malaya (UMCCed).


Meskipun kelihatan payah kerana faktor usia dan kesihatan, beliau yang mengambil Diploma Eksekutif Kaunseling dan berasal dari Kuala Lumpur ini tidak pernah patah semangat demi memastikan impiannya tercapai.

"Usia hanya angka dan tidak sesekali mematahkan semangat saya untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu. Meskipun sukar, saya tetapkan pendirian untuk terus berusaha.


"Inilah ganjarannya, selepas berusaha keras, akhirnya berjaya juga menamatkan pengajian. Hari ini saya puas dan bangga membuktikan, usia bukan penghalang menuntut ilmu," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sijil dan diploma UMCCed kali ke- 23 yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor UM, baru - baru ini.


Seramai 596 graduan berjaya menamatkan pengajian pada majlis yang disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UM, Profesor Datuk Dr Mohd Jamil Maah. Turut hadir Pemangku Pengarah UMCCed, Profesor Dr Bernardine Renaldo Wong.

Graduan Diploma Eksekutif Pentadbiran Pejabat & Personel, Normala Ab Aziz pula menerima Anugerah Naib Canselor dengan kejayaannya memperoleh Markah Purata Keseluruhan 93.2.


Berkongsi rahsia kejayaannya, dia berkata perkara paling utama adalah pembahagian masa serta fokus pada setiap yang dilakukan supaya lebih mudah faham.

"Belajar sebenarnya tidak susah kalau ada minat, matlamat dan mahu berusaha keras. Pembahagian masa juga penting, jika tidak pasti timbul masalah.


"Saya juga banyak membaca dan bertanya pada pensyarah untuk lebih memahami. Kita tidak boleh malu dan kejayaan hari ini menaikkan semangat saya untuk terus berusaha dalam semua aspek," katanya.


Sementara itu kajian dijalankan UMCCed pada Mei 2010 mendapati 23 peratus daripada graduan mendapat kenaikan gaji dan pangkat, 16 peratus memperoleh kenaikan gaji dan lima peratus kenaikan pangkat.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

No comments:

Post a Comment