3 tahun berlagak doktor pakar
Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
KLANG: Dia pernah menyambut sembilan kelahiran selain merawat ratusan pesakit, namun penyamaran seorang doktor palsu sejak tiga tahun lalu berakhir apabila dia ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, pada 22 November lalu.
Doktor palsu itu ditahan jam 11.30 pagi di sebuah klinik di Klang Utara, di sini, ketika merawat seorang pesakit yang hendak bersalin di Klang Utara, di sini.
Malah, bagi mengelak kegiatan liciknya dikesan, lelaki berusia 41 tahun berasal dari Sendayan, Negeri Sembilan itu berpindah-randah serta bekerja sebagai pakar perubatan di beberapa klinik sekitar Lembah Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong, berkata temberang doktor palsu itu terbongkar apabila seorang remaja berusia 18 tahun yang bekerja di klinik itu membuat laporan pada 11 November lalu mengadu dicabul suspek.
Katanya, sejurus menerima aduan itu, polis dari IPK Klang Utara mengesan suspek, tetapi dia bercuti di kampung.
“Sejurus pulang daripada cuti, kami mengesannya di sebuah klinik sebelum menahannya untuk siasatan berhubung kes cabul.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut ke atas suspek mendapati dia doktor palsu dengan membuat dakwaan kononnya menerima pendidikan daripada sebuah pusat perubatan di Turki,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.
Suspek yang juga bekas tentera pernah menyamar doktor dan bekerja di klinik di Rawang, Batang Berjuntai dan terbaru, Klang Utara.
Mohamad Shukor berkata, pemeriksaan latar belakang lelaki terbabit mendapati dia lulusan diploma pembantu perubatan dari sebuah kolej di Seremban sebelum diterima masuk dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Katanya, suspek berhenti kerja pada 2006 ketika bertugas di Melaka dan sejak itu menyamar doktor dan bekerja di beberapa klinik.
“Suspek beristeri dan mempunyai sembilan anak kini direman,” katanya.
Sementara itu dalam kes berasingan, Mohamad Shukor berterima kasih kepada orang awam yang menahan dua peragut di Bandar Baru Klang, pada 9 November lalu.
Katanya, dengan tertangkapnya dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun itu, pihaknya dapat menyelesaikan 13 kes ragut dan samun di sekitar Bandar Baru Klang, Meru dan Bukit Raja, di sini. “Seorang ditahan ketika cuba meragut seorang wanita, manakala rakannya melarikan diri.
“Dia bagaimanapun ditahan pada 14 November di daerah ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment