Lelaki dibelasah mencuri ketika solat Jumaat
KUALA TERENGGANU 3 Dis. - Tindakan seorang lelaki memecah masuk sebuah premis mencuci kereta ketika orang ramai sedang solat Jumaat hari ini, berakhir dengan dia dibelasah penduduk sehingga patah gigi.
Dalam kejadian di Kampung Kubang Jela, Manir, pukul 1 petang itu, perbuatan suspek disedari oleh penduduk kampung ketika cuba mengumpil pintu premis berkenaan.
Menurut penduduk, Johari Razali, 21, ketika kejadian dia baru pulang daripada sebuah pantai berdekatan sebelum dihubungi seorang rakannya yang memaklumkan melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di premis itu.
"Rakan saya ada bertanya terhadap suspek tetapi lelaki itu menjawab dia mengunjungi kedai bapa saudaranya yang kebetulan tiada kerana ke Kuala Lumpur.
"Rakan saya itu yang mengesyaki sesuatu lalu menghubungi saya untuk mengesahkan kejadian. Suspek yang panik kemudian melarikan diri dengan sebuah basikal kanak-kanak, disyaki dicuri dari sebuah rumah berhampiran," katanya ketika ditemui di Kampung Gong Tok Nasek, dekat sini hari ini.
Ujar Johari, dia dan tiga rakannya lalu bergegas ke lokasi tersebut dan berjaya menemui suspek yang bersembunyi dalam sebuah sawah kira-kira 100 meter dari tempat kejadian lalu mengepung lelaki itu.
"Suspek sempat bertanya dari mana kami berasal selain memaklumkan dia juga penduduk tempatan dan kerana panik, meminta maaf agar jangan dibelasah.
"Bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini kami meminta suspek menyerah diri kepada polis namun dia tiba-tiba melarikan diri ke arah jalan raya.
"Suspek lalu melompat naik ke atas sebuah motosikal seorang penduduk kampung yang tidak dikenali namun kami berjaya menangkapnya," ujarnya.
Katanya, suspek yang cedera di bahagian muka serta patah gigi depan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk dirawat.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi hari ini memaklumkan pihaknya masih menyiasat kes itu.
No comments:
Post a Comment