Maut dirempuh kereta api
KUALA LIPIS: Seorang lelaki yang dipercayai masih bersedih serta tidak dapat menerima hakikat kematian isteri sejak tiga tahun lalu ditemui maut selepas dilanggar kereta api di Kilometer 244.67 di Bukit Bentong, dekat sini, pagi semalam.
Kejadian jam 4.05 pagi itu mengakibatkan Md Arshad Ariffin, 67, dari Felda Sungai Koyan, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Mangsa yang menghidap penyakit nyanyuk sejak tiga tahun lalu selepas kematian isteri dan mempunyai enam anak, tinggal bersama anak perempuan keempatnya di Felda berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, mangsa dipercayai keluar rumah tanpa disedari anak dan menantunya yang sedang tidur sebelum menuju ke landasan kereta api itu.
Menurutnya, pada masa sama, kereta api membawa puluhan penumpang dalam perjalanan dari Singapura menghala ke Tumpat, Kelantan, merempuh mangsa sehingga mengakibatkan warga emas itu tercampak.
Katanya, kejadian disedari seorang anggota polis bantuan Keretapi Tanah Melayu selepas menemui mangsa terbaring berlumuran darah sebelum menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Lipis untuk meminta bantuan.
No comments:
Post a Comment