Syarikat Sosilawati dibenar fail pembelaan
KUALA LUMPUR 6 Dis. - Syarikat milik jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, Nouvelle Beauty Centre Sdn. Bhd. (NVC) hari ini dibenar memfailkan afidavit dan pembelaan di luar tempoh masa dalam satu kes saman membabitkan urusan jual beli hartanah bernilai RM3 juta.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Zabariah Mohd. Yusof memutuskan demikian selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak di kamar beliau di sini hari ini.
NVC yang dinamakan sebagai defendan memfailkan permohonan bagi melanjutkan masa mengemukakan pembelaan dan afidavit jawapan ekoran peguam syarikat tersebut sebelum ini, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, telah meninggal dunia.
Ahmad Kamil merupakan antara individu yang dibunuh dan dibakar bersama-sama Sosilawati di Tanjung Sepat, Banting.
Turut menemui nasib yang sama ialah pemandu jutawan kosmetik itu, Kamaruddin Shamsudin, 44, dan pegawai CIMB Bank, Noorhisham Mohammad, 38.
Pada prosiding hari ini peguam, Mohd. Hadi Ar Rais Muhamad mewakili pihak defendan manakala ahli-ahli perniagaan, Low Choong Yen, 59, dan Lim Bee Geok, 52, selaku pihak plaintif diwakili peguam Karena Tang Shiau Hui.
Menurut Mohd. Hadi ketika ditemui pemberita, mahkamah mengarahkan pihaknya memfailkan pembelaan dan afidavit jawapan tersebut sebelum Rabu ini.
Pada Jumaat ini pula, katanya, mahkamah akan mendengar permohonan plaintif untuk mendapatkan penghakiman terus mengikut Kaedah 81 Peraturan-Peraturan Mahkamah Tinggi 1981 kerana mendakwa defendan tidak mempunyai sebarang pembelaan terhadap tuntutan saman itu.
Pada 5 Ogos lalu, pasangan suami isteri itu memfailkan saman tersebut terhadap NVC kerana didakwa melanggar perjanjian jual beli hartanah bernilai RM3 juta yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Menurut writ saman mereka, plaintif mendakwa, berdasarkan surat tawaran oleh NVC bertarikh 2 April lalu, syarikat itu bersetuju menjual tanah seluas 144.9 meter persegi bersama sebuah bangunan empat tingkat di situ pada harga RM3 juta.
Pihak plaintif berkata, mereka membayar RM60,000 sebagai cengkeram semasa menandatangani surat tawaran penjualan hartanah itu manakala baki deposit RM240,000 dibayar apabila perjanjian jual beli ditandatangani.
Menurut mereka, baki RM2.7 juta lagi akan dibayar dalam tempoh 90 hari selepas perjanjian itu dimeterai.
Mereka mendakwa, syarat dan terma draf perjanjian jual beli itu dipersetujui dan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak pada 22 April lalu.
Bagaimanapun kira-kira sebulan selepas surat tawaran ditandatangani, NVC melalui surat peguamnya bertarikh 30 April lalu didakwa telah memaklumkan bahawa syarikat itu enggan meneruskan penjualan hartanah tersebut.
Menurut plaintif, pembatalan itu dibuat oleh defendan dengan alasan terpaksa menunggu antara enam hingga 12 bulan bagi mendapatkan kebenaran pindah milik kepada bukan bumiputera serta menyempurnakan transaksi.
No comments:
Post a Comment