Warga Indonesia guna tahi lalat palsu tipu Imigresen
KLANG 7 Dis. - Bagaikan babak dalam filem atau drama. Seorang lelaki warga Indonesia yang menganggotai kumpulan sindiket pemalsuan dokumen sanggup membuat tahi lalat palsu untuk mengelirukan penguat kuasa Imigresen ketika diperiksa masuk ke negara ini.
Bagi mengelak dirinya dikenal pasti dan ditangkap, suspek berusia 40-an sengaja mencalitkan cat berwarna hitam menyerupai tahi lalat di atas hidung sebelum mengambil gambar untuk membuat pasport palsu.
Suspek kemudian membuat tahi lalat palsu serupa dengan gambar di dalam pasport semasa tiba di Jeti Pulau Ketam di sini, malam tadi, bagi menunjukkan dia adalah orang yang sama dengan pemilik dokumen berkenaan.
Namun, usaha dilakukan suspek sia-sia apabila pegawai penguat kuasa Imigresen berjaya membezakan antara tahi lalat palsu dengan asli yang kemudian bertindak menahannya untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Ketua Pejabat Imigresen Jeti Pulau Ketam, M. Chandran berkata, pihaknya sudah lama menunggu peluang untuk memberkas suspek setelah menerima maklumat daripada orang awam bahawa lelaki terbabit terlibat dalam kegiatan pemalsuan dokumen bersama satu kumpulan sindiket beroperasi di Puchong dekat sini.
Chandran berkata, bertindak atas maklumat tersebut, beliau bersama tiga anggotanya kemudian menjalankan siasatan dan intipan sejak tiga minggu lalu sebelum berjaya memberkas suspek pada pukul 11.50 malam tadi.
"Akhirnya, kami mendapat maklumat bahawa suspek akan bertolak menaiki feri dari Tanjung Balai, Indonesia dan tiba di Jeti Pulau Ketam pada malam tadi,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudian ditahan untuk pemeriksaan lanjut dan didapati tahi lalat pada hidungnya boleh ditanggal memandangkan ia hanya cat berwarna hitam.
Chandran berkata, pihaknya turut merampas empat kad pengenalan (KP) Indonesia, dua KP Malaysia, dua pasport Indonesia dan sekeping sijil kelahiran Malaysia daripada suspek.
No comments:
Post a Comment