Syarat bantuan jadi isteri kedua
SAYA seorang ibu tunggal yang bekerja di sebuah syarikat korporat. Sebelum bekerja di syarikat ini saya hanya bekerja di sebuah restoran makanan segera di Johor. Selepas lima bulan saya bekerja di situ saya berkenalan dengan seseorang melalui laman sosial Facebook. Lelaki itu ialah kenalan adik angkat saya.
Lelaki berkenaan menawarkan pekerjaan kepada saya. Saya bersetuju kerana jawatan dan gaji yang diberikan memandangkan kesihatan saya yang tidak begitu stabil. Ini kerana saya perlu mencari kerja yang sesuai dengan kesihatan saya.
Masalahnya sekarang, syarikat tempat saya bekerja sekarang ini akan mengalami saat kejatuhan manakala orang yang bertanggungjawab membawa saya ke syarikat ini sudah berhenti sebulan yang lepas.
Saya merayu kepada lelaki berkenaan supaya mencarikan kerja baru kerana saya tidak tahu selok-belok jalan di sini. Lelaki berkenaan bersetuju tetapi dengan syarat saya mesti berkahwin dan menjadi isteri keduanya dan perkahwinan kami adalah rahsia.
Syarat yang diletakkan terlampau berat untuk saya tunaikan. Saya benar-benar buntu kerana saya masih mempunyai misi saya sendiri. Perkahwinan bukan matlamat hidup saya lagi kerana saya serik untuk dikecewakan tambahan pula menjadi isteri kedua. Berat sangat rasanya. Saya tidak mahu dikatakan kerana budi tergadai ‘body’.
Saya ada usulkan padanya yang saya akan pulang ke Johor sekiranya tiada kerja di sini, tetapi ugutan pula yang saya terima. Buntu saya dibuatnya. Saya perlukan kerja untuk tampung hidup saya tapi saya tidak suka diberikan syarat yang bukan-bukan.
YANG BUNTU,
Kuala Lumpur.
DANG SETIA bersimpati dengan masalah yang menimpa saudari. Dalam keadaan sulit kerana berdepan masalah kesihatan dan pada masa sama perlu bekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup, sudah pasti saudari merasakan itu keputusan yang tepat.
Namun, langit tidak selalunya cerah. Baru hendak menarik nafas lega mendapat pekerjaan yang sesuai dengan tahap kesihatan, saudari sekali lagi diduga kerana syarikat baru tempat anda bekerja tidak kukuh.
Apa yang Dang Setia nampak, pilihan ada di tangan saudari sendiri dalam membuat keputusan.
Jika tidak yakin syarikat korporat tempat saudari bekerja membolehkan saudari membina masa depan lebih baik, saudari boleh berhenti dan pulang ke kampung dan mencari pekerjaan baru.
Pilihan kedua ialah saudari masih boleh tetap tinggal di kota besar ini, tetapi mencari pekerjaan lain. Jangan terus bersedih dengan kejadian yang menimpa, sebaliknya saudari perlu kuat dan tabah.
Bangkit segera mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang melanda saudari. Memanglah saudari tidak tahu selok-belok kehidupan di kota besar kerana saudari baru merantau, tetapi saudari harus cepat belajar dan menguasai suasana.
Dang Setia nampak adik terlalu bergantung harap kepada orang lain. Maaf jika Dang Setia katakan sikap adik juga boleh memudahkan dipergunakan orang. Tambahan adik baru sahaja tinggal di bandar yang penuh dengan kerenah manusia yang sering mengambil kesempatan.
Lelaki berkenaan sudah membantu saudari mencari pekerjaan baru di tempat yang asing bagi saudari dan apabila keadaan tidak seperti diharapkan, saudari harus membuat pilihan dan keputusan sendiri.
Ibarat untuk mendapatkan ikan, seseorang itu diberi mata kail dan pancing dan dia perlu berusaha sendiri mendapatkan ikan. Perumpamaan ini harus saudari hayati. Apabila seseorang sudah membuka jalan untuk saudari, saudari sendiri yang perlu menentukan destinasi yang mahu dituju.
Jangan biarkan lelaki berkenaan mengambil kesempatan terhadap diri saudari. Sikap terlalu bergantung harap padanya membuatkan dia menganggap saudari lemah. Ini menyebabkan dia berani menetapkan syarat yang bukan-bukan yang saudari sendiri tidak sanggup penuhi. Ini kerana dia tahu peluang untuk saudari penuhi syarat itu besar sekiranya saudari dalam keadaan terdesak.
Dang Setia berharap saudari mendekatkan diri kepada Allah. Banyakkan berdoa dan minta diberi petunjuk dan jalan penyelesaian terhadap masalah yang saudari hadapi. Insya-Allah, saudari akan nampak jalan penyelesaian dan dipermudahkan ketika berusaha menyelesaikan masalah ini.
No comments:
Post a Comment