Dicekup ketika rompak emas
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my
GEORGETOWN: Cubaan seorang lelaki berusia 32 tahun untuk merompak sebuah kedai emas di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Jalan Penang, di sini, gagal apabila dia ditahan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, suspek yang menggalas sebuah beg dan tinggal di kawasan Lebuh Cecil, di sini, memasuki kedai emas berkenaan berseorangan.
Selepas menyedari tindak-tanduknya diperhatikan pemilik kedai, suspek meninggalkan kedai terbabit kira-kira dua minit kemudian sebelum datang semula dengan menyelitkan sebilah parang di belakang seluarnya.
Sebaik menyerbu masuk kedai emas yang terletak di selekoh Jalan Penang itu, suspek mengacukan parang ke arah seorang pembantu kedai yang terkejut dengan tindakan nekad lelaki terbabit.
Bagaimanapun, belum sempat dia merompak selepas mengacukan parang ke arah pembantu kedai, orang ramai yang kebetulan menyedari kejadian itu sempat menahan dan memukulnya.
Pemilik kedai yang enggan dikenali berkata, suspek diserahkan kepada pegawai polis yang bertugas di pondok polis di tingkat 4 , Komtar sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Timur Laut untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, tinjauan Harian Metro di tempat kejadian mendapati, beg galas, tali pinggang dan topi keledar milik suspek ditemui dalam premis itu manakala motosikal Honda EX5 hitam milik suspek pula diletakkan di luar premis.
Difahamkan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, tetapi enggan mengulas lanjut.
No comments:
Post a Comment